.


its me...

Friday, April 30, 2010

KOC Khas Untuk Wanita dlm KOMUTER??? - HEBAT!!!



Seusai menelaah beberapa laman blog rakyat Malaysia, artikel akhbar-akhbar online dan laman sesawang Keretapi Tanah Melayu Berhad malam tadi, penulis berasa gembira dan bersyukur apabila Koc Wanita Pertama di Malaysia mula diperkenalkan PADA 28 April 2010, beberapa hari yang lepas.

Malah turut menarik nafas lega berikutan hasrat "murni" ini direalisasikan bagi mencegah jenayah seluk saku dan gangguan seksual yang semakin membarah sejak beberapa tahun ini. Sekurang-kurangnya, insiatif sebegini berupaya mengekang 2 jenayah melampau (penyeluk saku & gangguan seksual) ini daripada terus berlaku.
Menurut KTMB, operasi ini buat kali pertamanya akan dimulakan bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang dan akan dipanjanglebarkan lagi penggunaannya. Koc wanita ini juga terdapat di gerabak tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu (pink). Selain itu, penulis juga difahamkan bahawa koc ini merupakan alternatif kepada para wanita samada mahu menggunakannya ataupun tidak. 2 lagi gerabak daripada 3 gerabak komuter masih boleh dinaiki wanita sekiranya mereka mahu dan tiada paksaan sekalipun. Tambahan pula, perkara ini dibuat bedasarkan statistik pengguna komuter iaitu majoriti 60% wanita yang menggunakannya.

Melalui perubahan baharu ini, jelas kita dapat lihat Malaysia yang majoritinya rakyat beragama Islam mengangkat maruah & juga kehormatan wanita sebagai satu permata yang mesti dijaga kesucian dan keasliannya. Namun, ini tidak bererti koc ini hanya untuk wanita Islam, tetapi merujuk kepada semua wanita di dunia ini yang inginkan maruahnya terjaga ... kerana ada juga wanita yang tak nak lepas daripada berdamping dengan teman lelaki, suami atau kawan-kawan lelaki mereka. Takkanlah tak boleh nak lepas dalam Komuter walaupun sekejap cuma... Lagipun, yg bukan mahram lagilah ditegah untuk berdamping sesama menurut ajaran Islam!!!

Bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya, penulis mengambil kenyataan daripada KTMB untuk kita kongsi manfaat ini bersama:

27 April 2010 – Bertindak atas keperluan semasa, KTM Komuter mengambil inisiatif memperkenalkan koc wanita yang pertama di Negara ini yang memulakan operasi untuk laluan Sentul - Pelabuhan Klang, sepanjang hari bermula hari ini.

Pelaksanaan Koc Wanita ini berpandukan statistik yang menunjukkan 60% pengguna perkhidmatan KTM Komuter adalah terdiri daripada kaum wanita.

Menggunakan tema ‘Wanita Sahaja Sepanjang Masa, Ladies Only At All Times’ koc wanita ini berada di gerabak yang tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu (pink).

Para pelanggan akan dapat mengenali koc ini melalui pelekat khas yang dipamerkan di tingkap, pintu dan di dalam koc. Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian Koc Wanita ini melalui kain rentang yang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan dengan warna merah jambu.

Secara ringkasnya kedudukan Koc Wanita bagi setiap tren Komuter yang mempunyai tiga (3) koc (gerabak) adalah seperti berikut:

    - Koc Hadapan - Koc Biasa (lelaki dan wanita)

    - Koc Tengah - Koc Wanita (wanita sahaja)

    - Koc Belakang - Koc Biasa (lelaki dan wanita)

Pengenalan Koc Wanita ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dan bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama pengiring/saudara wanita mereka dibenarkan menaiki koc ini.

Pengguna wanita tidak diwajibkan menggunakan Koc Wanita sahaja ketika menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka boleh memilih samaada untuk menggunakan Koc Wanita atau koc biasa. Sementelah kemudahan disediakan, KTM Berhad menggalakkan pengguna wanita untuk mencuba kemudahan Koc Wanita ini.

Pihak KTM Komuter memohon kerjasama orang ramai agar menghebahkan/mengwar-warkan kewujudan Koc Wanita ini kepada para pengguna yang lain dan berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama yang sepenuhnya bagi memastikan pengenalan koc ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

KTM Komuter mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan mengenai Koc Wanita ini. Cadangan dan pandangan boleh dihantar ke komuter4u@ktmb.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di 1300-88-5862.

Dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Keretapi Tanah Melayu Berhad
Tarikh: 27 April 2010


errmmm~ terfikir sejenak, bagaimana pula kalau penjenayah seluk saku dan gangguan seksual itu sendiri terdiri daripada kaum wanita ea?? kita serah sahaja pada ALLAH, yang penting, kita sudah mengurangkan jenayah sedia ada dan sentiasa menjaga diri sendiri...

SELAMAT MENIKMATI KOC KHAS ISTIMEWA UNTUK SEMUA WANITA DI MALAYSIA!!!

0 comments: